Selasa, 7 Mei 2013

Karangan jenis Laporan


 Penerangan.

*Murid perlu memahami jenis laporan sama ada laporan lawatan, aktiviti persatuan, perayaan
ataupun perasmian.

*Laporan perlu ada tajuk, tarikh, tempat, butir-butir yang berkaitan, tandatangan, nama
pelapor (huruf besar), dan jawatan pelapor.

*Tarikh diletakkan di sebelah kanan, iaitu sejajar dengan “Laporan disediakan oleh”.

*Bagi karangan berformat seperti ini, tajuk dianggap pendahuluan, manakala tandatangan,
nama pelapor, dan jawatan dianggap penutup. Memadai jika murid menulis empat perenggan
untuk empat idea.

*Bagi laporan aktiviti persatuan, sertakan senarai nama ahli jawatankuasa, sejarah penubuhan,
jumlah ahli, aktiviti sepanjang tahun dan harapan setiausaha.

*Bagi laporan lawatan, tulis apa-apa yang dilihat, dirasa, dialami, dan kesan lawatan tersebut
terhadap pembelajaran.

*Karangan ini tiada bezanya dengan karangan jenis cerita, diari ataupun berita. Cuma format
yang membezakannya.

Format permakahan.
*Tanpa tajuk                                                               (tolak ½ markah).
*Tanpa tandatangan/salah letak                                (tolak ½ markah).
*Tanpa nama                                                              (tolak ½ markah).
*Tanpa jawatan                                                          (tolak ½ markah).
*Tanpa tarikh/salah letak                                           (tolak ½ markah).


Contoh 1.
Sekolah kamu telah mengadakan kempen kebersihan. Tulis laporan tentang kempen tersebut.

Rangka karangan.
Pendahuluan
Sekolah telah mengadakan kempen kebersihan 2013.
-Majlis pelancaran olen Tuan Guru Besar.
-Majlis diadakan di perkarangan sekolah.

Idea
1)Tuan Guru Besar mahu murid mencintai kebersihan.
-Kebersihan budaya murid yang cemerlang.
-Sekolah sebagai tempat melatih murit menghargai kebersihan.

2)Bersama-sama membersihkan persekitaran sekolah.
-Murid bersikap ringan tulang.
-Guru mengawasi murid.

3)Diadakan pertandingan kelas terbersih.
-Murid membersihkan kelas.
-Tiga orang guru membersihkan kelas.

4)Murid-murid digalakkan menyumbangkan pokok bunga.
-Mendapat sambutan baik daripada ibu bapa.
-Sebanyak 236 pokok diterima.

Penutup
Majlis penutupan di dewan besar.
-Kelas 6 Intan diumumkan sebagai kelas terbersih.
-Kempen ini mencapai matlamat.

Mengarang karangan berpandukan peta minda di atas.

Laporan kempen Kebersihan Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 1.
Pada 4 Mac 2013, Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 1 (SKBB1) telah mengadakan aktiviti Kempen Kebersihan 2013. Majlis telah dilancarkan oleh Tuan Guru Besar, En Mohd Ali Hassan. Semua murid menghadiri majlis perasmian yang diadakan di perkarangan sekolah.
            Tuan Guru Besar  dalam ucapannya mahu aktiviti yang dijalankan selama seminggu ini mampu melahirkan murid yang mencintai kebersihan. Baginya, kebersihan merupakan budaya murid yang cemerlang. Oleh itu, beliau mahu menjadikan sekolah sebagai tempat melatih murid yang tahu menghargai kebersihan.
            Selepas majlis pelancaran itu, semua murid bersama-sama membersihkan persekitaran sekolah. Murid-murid menunjukkan sikap ringan tulang mengutip sampah, mencabut rumput, dan menyusun kedudukan pasu bunga. Setiap kelas dibahagikan kepada kawasan tertentu yang diawasi oleh guru kelas masing-masing.
            Sekolah juga mengadakan pertandingan kebersihan. Pertandingan itu menyebabkan murid-murid berlumba-lumba membersih, menghias dan menceriakan kelas masing-masing. Tiga orang guru telah memeriksa setiap kelas untuk menentukan kelas yang layak menjadi juara.
            Murid-murid juga digalakkan menyumbang pokok bunya kepada sekolah. Kempen tersebut mendapat sambutan yang baik dari pada ibu bapa. Sejumlah 236 pokok bunya telah diterima oleh pihak sekolah.
            Majlis penutupan telah diadakan pada 8 Mac 2013 di dewan besar. Kelas 6 Intan telah diumumkan sebagai kelas terbersih. Secara keseluruhannya, kempen yang dijalankan telah mencapai matlamat untuk mewujudkan suasana sekolah yang ceria dan indah.

Laporan disediakan oleh,                                                                                                    11 Mac 2013

__________________________________
(NUR ILLYA MAISARA BINTI MOHD ZANAFI)

Maksud peribahasa yang digunakan.
Sikap ringan tulang – rajin berkerja dan usaha.

Contoh 2.
Kamu sebagai Setiausaha persatuan Sains diminta oleh guru penasihat membuat laporan tahunan. Sediakan laporan tersebut selengkapnya.

Rangka karangan.
Pendahuluan
Ditubuhkan sejak 1997.
-Telah mengadakan pelbagai aktiviti.
-Aktiviti dijalankan pada waktu petang.

Idea
1)Ahli seramai 128 orang.
-Telah mengadakan perbagai aktiviti.
-Aktiviti dijalankan pada waktu petang.

2)Aktiviti mendapat sambutan.
-Pertandingan luar juga disertai.
-Seorang ahli menjadi johan.

3)Yuran tahunan sebanyak RM0.50.
-Menjual kad hari raya.
-Contoh jawatan yang disandang.

4)Cadangan mengadakan jamuan perpisahan.
-Yang terlibat akan diundang.
-Majlis perpisahan ahli tahun enam.

Penutup
Bangga atas kerjasama yang diberikan.
-Berharap lebih banyak aktiviti dijalankan.
-Berharap ahli berminat mata pelajaran sains.

Mengarang karangan berpandukan peta minda di atas.

Laporan Tahunan Persatuan Sains Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 1.

Penaung                      :En Mohd Zanafi bin Zakaria
Penasihat                    :Puan Nooraini binti Mohd Ali
Pengerusi                    :Muhammad Irfan Hadi bin Mohd Zanafi
Setiausaha                   :Nur Illya Maisara binti Mohd Zanafi
Bendahari                   :Nurin Izzaty binti Mohd Zanafi
Ahli Jawatankuasa      :Azhar bin Seman
                                    Zainal bin Husain
                                    Aslina binti Ahmad
                                    Chan Wei Meng
                                    S. Sundralingam

Persatuan Sains Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 1 telah ditubuhkan sejak tahun 1996. Sepanjang penubuhannya, pelbagai aktiviti telah diadakan untuk menarik minat ahli terhadap mata pelajaran Sains. Kelebihannya, Persatuan Sains menjalankan aktiviti pada waktu petang.
            Pada tahun 2013, jumlah ahli persatuan ini seramai 128 orang. Menerusi bimbingan guru penasihat, pelbagai aktiviti diadakan seperti minggu Sains, mewujudkan taman sains, lawatan sambil belajar ke Pusat Sains Negara, dan melukis mural. Sasaran aktiviti adalah murid-murid Tahap Dua.
            Setiap aktiviti mendapat sambutan yang baik daripada ahli. Pertandingan anjuran Jabatan  Pelajaran Daerah juga kami sertai. Salah seorang daripada ahli kami, Nurul Hidayah binti Halim telah  Berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan mendeklamasikan sajak berunsur sains.
            Bagi memudahkan persatuan menggerakkan aktiviti, setiap ahli dikenakan yuran tahunan sebanyak RM0.50. Aktiviti lain untuk mengisi tabung ialah jualan kad hari raya. Kami juga menjual buku-buku terpakai semperna sambutan hari keluarga.
            Pada hujung tahun, iaitu 5 November 2013, kami bercadang untuk menganjurkan jamuan perpisahan. Penaung, guru penasihat, dan semua ahli dijemput hadir. Majlis tersebut merupakan majlis perpisahan untuk ahli tahun enam.
            Kami berasa bangga terhadap kerjasama yang diberikan oleh semua pihak demi memajukan persatuan ini. Kami berharap agar persatuan ini dapat mengadakan lebih banyak aktiviti dengan barisan ahli jawatankuasa yang baharu yang bulat hati untuk memajukan persatuan. Semoga ahli-ahli lebih berminat terhadap pelajaran Sains di dalam kelas.

Laporan disediakan oleh,                                                                               25 OKTOBER 2013

______________________
(NUR ILLYA MAISARA BINTI MOHD ZANAFI)
Setiausaha,
Persatuan Sains,
Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 1.

5 ulasan: