Isnin, 10 Jun 2013

Karangan jenis Perbahasan.(UPSR)

Penerangan.
*Karangan jenis ini terbahagi kepada dua, iaitu perbahasan yang membicarakan tajuk berunsur fakta dan perbahasan untuk pertandingan.

*Sewaktu membicarakan tajuk, murid perlu menekankan satu aspek sahaja. Sebagai contoh, jika bersetuju terhadap tajuk, semua idea menyatakan hal yang sama. Begitu juga sebalinya jika membangkang.

*Fakta memerlukan penghuraian untuk menunjukkan kematangan berfikir.

*Bagi perbahasan untuk pertadingan, mulakan dengan kata alu-aluan. Contohnya:

Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, para hakim yang adil, dan barisan pembangkang, guru-guru, dan rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan.

*Wujudkan suasana pertandingan dengan menyebut “hadirin yang dihormati”.

*Bagi pertandingan, kata alu-aluan dianggap pendahuluan. Ucapan “terima kasih” dianggap penutup. Hal ini bermakna, murid memerlukan empat idea(idea pertama memperkenalkan tajuk) dan perlu ditulis dalam empat perenggan.

*Gunakan bahasa yang mudah, tepat, dan menyakinkan.

Format permakahan (Maksimum: Ditolak 3 markah – situasi pertandingan)
*Menulis dalam bentuk karangan biasa                                                                     (Ditolak 3 markah)
*Tanpa kata-kata menghadap majlis                                                                         (Ditolak 1 markah)
*Tanpa kata-kata penutup                                                                                        (Ditolak 1 markah)


Contoh 1.
Kamu terpilih memasuki satu pertandingan perbahasan. Tajuk yang ditetapkan ialah “kawan Yang Rapat Lebih Banyak Mendatangkan Kebaikan”. Sama ada sebagai pencadang atau pembangkang, sediakan hujah-hujah kamu.

Rangka karangan.
Pendahuluan
Kata alu-aluan.
-Penghargaan kepada tetamu.
-Menerangkan tajuk

Idea
1)Kawan ialah orang yang mempunyai hubungan yang rapat dengan kita.
-Rapat kerana mempunyai minat yang sama.
-Mempunyai ramai kawan yang akrap mendatangkan banyak kebaikan.

2)Dapat membantu ketika dalam kesusahan.
-Tidak bawa wang boleh meminjam.
-Tidak akan kelaparan.

3)Dapat bertukar-tukar mata pelajaran.
-Dapat membentuk kumpulan belajar.
-Impian 5A dalm UPSR menjadi kenyataan.

4)Dapat mencurahkan perasaan.
-Perasaan tertekan akibat masalah peribadi.
-Dapat meluahkan masalah. Perasaan menjadi lega.

Penutup
Kawan rapat lebih banyak mendatangkan kebaikan.
-Serangkap pantun.
-Ucapan terima kasih.

Mengarang karangan berpandukan peta minda di atas.

Kawan Yang Rapat Lebih Banyak Mendatangkan Kebaikan.

Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, para hakim yang adil, barisam pembangkang, guru-guru, dan rakan sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada pagi yang mulia ini, izinkan saya menyampaikan perbahasan saya yang bertajuk “Kawan yang Rapat Lebih Banyak Mendatangkan Kebaikan”.
            Kawan merupakan orang yang mempunyai hubungan yang rapat dengan kita. Seseorang kawan itu menjadi rapat dengan kita apabila mempunyai hobi, cita-cita, dan cara berfikir yang sama dengan kita. Sesungguhnya, mempunyai ramai kawan yang akrab lebih banyak mendatangkan kebaikan kepada kita.

Hadirin yang dimuliakan,
            Hujah saya yang pertama ialah kawan rapat dapat membantu kita apabila kita berada dalam kesusahan. Sebagai contoh, jika kita tertinggal wang saku, kita boleh meminjamkan wang daripada rakan kita yang rapat dengan kita. Kesannya, kita dapat mengelak daripada berada dalam keadaan kelaparan, sekali gus mengelak daripada belajar dalam keadaan yang tidak selesa.
            Hujah saya yang kedua ialah kawan yang rapat penting untuk kita bertukar-tukar nota pelajaran. Malahan, kita dapat membentuk kumpulan belajar yang terdiri daripada rakan-rakan yang rapat dengan kita. Oleh sebab minat dan impian yang sama untuk berjaya dalam UPSR, akhirnya 5A dalam UPSR akan menjadi kenyataan.

Hadirin yang dikasihi,
            Hujah saya yang ketiga ialah kawan yang rapat dapat menjadi tempat untuk kita mencurahkan perasaan kerana menghadapi masalah dengan adik-beradik ataupun dalam pelajaran. Apabila kita dapat luahkan apa-apa yang terbuku dalam hati kita, perasaan kita yang sakit bagai dihiris dengan sembilu akan hilang.
            Berdasarkan hujah-hujah yang diberi, jelaslah kepada kita bahawa kawan yang rapat lebih banyak mendatangkan kebaikan kepada kita. Sebelum saya mengakhiri hujah saya ini, terimalah serangkap pantun yang berbunyi:

                                                Selalulah kita memperteguh persahabatan,
                                                            Keakraban terjalin tidak tersasar,
                                                Perlu cerdik memilih kawan,
                                                            Pilihlah kawan berjiwa besar.

Sekian, terima kasih.

Maksud peribahasa yang digunakan.
Bagai dihiris dengan sembilu – rasa sakit yang pedih hati.

Contoh 2.

Kamu bersama-sama dengan rakan-rakan telah terpilih untuk memasuki satu pertandingan perbahasan. Tajuk yang ditetapkan ialah “Membawa Bekal ke Sekolah Lebih Baik Berbanding Membeli Makanan di Kantin Sekolah”. Sebagai pencadang pertama, sediakan hujah-hujah kamu.

Rangka karangan.
Pendahuluan
Terima kasih kepada Pengerusi Majlis.
-Penghargaan kepada para jemputan.
-Lafaz selamat sejahtera.

Idea
1)Memastikan makanan bersih.
-Sering berlaku keracunan makanan.
-Tidak berlaku jika membawa bekal.

2)Berhemat ketika berbelanja.
-Berhemat jika membawa bekal.
-Makanan di kantin mahal.

3)Dapat menjimatkan masa.
-Waktu rehat Cuma 20 minit.
-Tidak berebut membeli makanan.

4)Bertukar lauk dengan rakan.
-Mengeratkan siraturahim.
-Makan lebih berselera.

Penutup
Lebih baik membawa bekal ke seklah.
-Serangkap pantun.
-Lafaz terima kasih.


Membawa Bekal ke Sekolah Lebih Baik Berbanding Membeli Makanan di Kantin Sekolah
 Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, para hakim yang adil, barisam pembangkang, guru-guru, dan rakan sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Pada pagi ini, izinkan saya menyampaikan perbahasan yang bertajuk, “Membawa Bekal ke Sekolah Lebih Baik Berbanding Membeli Makanan di Kantin Sekolah”..
            Kita digalakkan membawa bekal ke sekolah untuk memastikan kita memakan makanan yang bersih. Media masa selalu memaparkan merid-murid menghadapi masalah keracunan makanan. Masalah ini tidak akan berlaku jika kita membawa makanan dari rumah.
            Kita dididik berhemat berbelanja. Hal ini dapat dilakukan sekiranya kita membawa makanan dari rumah. Jika kita berbelanja di kantin sekolah RM2.00, perut kita belum kenyang lagi.
            Membawa bekal bermakna kita dapat menjimatkan masa. Hal ini demikian kerana masa rehat Cuma diberi 20 minit. Jadi, waktu kita gunakan untuk makan tanpa berebut-rebut membeli makanan.
            Seterusnya, kita boleh bertukar lauk dengan kawan yang sama membawa bekal. Sikap ini boleh mengeratkan siraturahim dan mengetahui isi hati kawan kita. Malah, kita makan dalam keadaan lebih menyelerakan.
            Jelaslah kepada kita bahawa membawa bekal ke sekolah lebih baik berbanding membeli makanan di kantin sekolah. Sebelum saya akhiri perbahasan ini, saya sertakan serangkap pantun yang berbunyi:

                                                            Tegurlah rakan dengan ramah,
                                                                        Jumlah rakan akan beribu,
                                                            Membawa bekal dari rumah,
                                                                        Menghargai air tangan ibu.

Sekian, terima kasih.

Maksud peribahasa yang digunakan.

Isi hati – perasaan seseorang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan